Moto3: Hakim Danish Juarai GP Czech
Hafiz Omar

Pelumba muda negara, Hakim Danish meraih kemenangan sulung Kejuaraan Dunia Moto 3 dalam kariernya apabila menamatkan perlumbaan GP Czech di Litar Brno pada Ahad di tempat pertama.
Lebih dramatik dan sensasi, kemenangannya muncul selepas pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI yang berusia 18 tahun bermula dari grid ke-14 susulan hukuman penalti.
Pada Sabtu, Hakim berhasil meraih petak kedua untuk perlumbaannya namun dikenakan hukuman 12 petak grid atas alasan memperlahankan jenteranya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2).
View this post on Instagram
Bermula dari kedudukan tersebut, Hakim kelahiran negeri Terengganu itu memintas pelumba lain satu demi satu sehingga berada dalam kelompok tiga terawal pada pusingan kesepuluh.
Hakim mengekalkan tunggangan yang konsisten dan bertenaga dalam kelompok itu sebelum memotong Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) dan Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) dan memimpin perlumbaan pada pusingan terakhir sehingga melintasi garisan penamat.
Sebagai rekod, Khairul Idham Pawi atau dijuluki sebagai SuperKIP merupakan pelumba negara terakhir yang memenangi perlumbaan Moto3 apabila menjuarai GP Jerman pada 10 tahun yang lalu.
FEATURED IMAGE: MotoGP