Tan Cheng Hoe Kembali Latih Harimau Malaya

June 25, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya kembali menggunakan khidmat Tan Cheng Hoe sebagai pengendalinya sekaligus menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter Cklamovski.

Perkembangan itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan jurulatih berusia 58 tahun berkenaan sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan, pada hari ini.

FAM menjelaskan Cheng Hoe yang pernah membimbing Kedah FA, Selangor FC dan Police Tero FC (Thailand) dipilih atas pengalaman, rekod pencapaian serta pemahaman mendalamnya dalam lanskap bola sepak tanah air. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

“FAM yakin pengalaman, kepakaran dan pengetahuan beliau mengenai bola sepak tempatan akan menjadi aset penting dalam usaha memperkukuhkan prestasi skuad Harimau Malaya.” tulis kenyataan badan induk tersebut.

Bagaimanapun, tempoh Cheng Hoe mengendalikan skuad Harimau Malaya secara sementara itu tidak dikongsikan kepada umum. 

Dalam tempoh sebulan sahaja lagi, Harimau Malaya akan menghadapi saingan Piala ASEAN Hyundai 2026 yang berlangsung dari 24hb Julai hingga 26hb Ogos kelak.

Untuk makluman, sebelum diumumkan sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan, Cheng Hoe telah kembali semula ke Wisma FAM, Kelana Jaya dengan peranan sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.

FEATURED IMAGE: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd