Piala Dunia: Maghribi Hantar Belanda Pulang
Hafiz Omar

Naib juara sebanyak tiga kali, Belanda terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Dunia FIFA 2026 selepas tewas di pusingan 32, hari ini.
Lebih mendukacitakan, skuad yang terkenal dengan julukan Oranje itu tewas menerusi penentuan sepakan penalti menerusi skor 2-3 di tangan Maghribi.
Tiga pemain Belanda iaitu Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville gagal menyempurnakan sepakan penalti sekaligus menyumbang kepada kekalahan mereka.
Dua pemain Maghribi iaitu Neil El Aynaoui dan Achraf Hakimi turut sama gagal menyempurnakan sepakan masing-masing namun diselamatkan oleh Soufiane Rahimi, Chemsdine Talbi dan Ismail Saibari.
Terdahulu, permainan terpaksa dilanjutkan sehingga 120 minit selepas keduanya-duanya terikat 1-1 selepas bertarung selama 90 minit masa permainan sebenar.
View this post on Instagram
Belanda terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi pemain Liverpool,Cody Gakpo pada minit 72.
Tatkala skuad bimbingan Ronald Koeman seakan-akan dapat menamatkan permainan dengan kemenangan dalam masa 90 minit, satu tandukan berbisa daripada Issa Diop pada minit 90+1 memusnahkan angan-angan Belanda pada saat itu.
Hasil kemenangan ini, Maghribi bimbingan Mohamed Ouhbi meraih tiket ke pusingan 16 dan menantinya di situ adalah salah satu hos bagi edisi kali ini, Kanada.
Pertarungan Maghribi dan Kanada untuk merebut tempat ke peringkat suku akhir itu dijadualkan pada 5hb Julai kelak dengan sepak mula pada jam 1 pagi waktu Malaysia.
Untuk makluman, Kanada mara ke pusingan 16 selepas menundukkan Afrika Selatan 1-0 hasil jaringan Stephen Eustaquio pada minit 90+2.
FEATURED IMAGE: Equipe du Maroc