Nafuzi Tandatangan Kontrak 2 Musim Bersama Terengganu FC
Hafiz Omar

Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23), Nafuzi Zain kembali sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC.
Kelab berpangkalan di pantai timur itu mengumumkan penyatuan semula dengan bekas ketua jurulatihnya itu menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasminya, pada hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan jurulatih berusia 47 tahun berkenaan menandatangani kontrak selama dua musim sekaligus mengekalkan khidmatnya bersama skuad Hitam Putih sehingga penghujung Mei 2028.
“Pelantikan ini menandakan kepulangan seorang jurulatih yang cukup sinonim dengan Terengganu FC dan pernah mencipta pelbagai pencapaian membanggakan bersama kelab ini.” tulis kenyataan Terengganu FC.
View this post on Instagram
Tempoh pertama Nafuzi mengendalikan Terengganu FC bermula dari pertengahan 2019 hingga penghujung musim 2022 menyaksikan kelab pantai timur itu berhasil muncul naib juara Liga Super 2022, Piala FA 2022 dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2022 melayakkan diri ke saingan Piala AFC 2023.
Selain itu, Nafuzi merupakan individu yang bertanggungjawab mencungkil dan menggilap bakat beberapa pemain muda dan berprofil rendah sehingga meraih perhatian peminat bola sepak tempatan seperti Faisal Halim, Hakimi Abdullah, Shahrul Nizam Ros Hasni, Azam Azmi Murad, Rahadiazli Rahalim dan lain-lain lagi sehingga membentuk skuad yang mampu mencabar kejuaraan.
Kepulangan semula Nafuzi turut digambarkan sebagai tepat pada masanya dimana Terengganu FC sedang melalui fasa pembinaan semula pasukan dengan hala tuju yang lebih jelas, berfokus dan berdaya saing.
“Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, Nafuzi telah mula mengenal pasti beberapa pemain tempatan dan pemain import, selain menyusun barisan kejurulatihan menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan yang telah dipertanggungjawabkan oleh kelab untuk membentuk skuad yang mampu memenuhi kehendak taktikal beliau,” tulis Terengganu FC lagi.
Sebagai tambahan, pengumuman penyertaan Nafuzi bersama Terengganu FC ini hadir kira-kira 15 hari selepas pemenang gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20222 itu menamatkan kontrak dengan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi persetujuan bersama.
FEATURED IMAGE: Terengganu FC