Piala Dunia: Perancis Bantai Sweden
Hafiz Omar

Naib juara edisi lalu, Perancis mengesahkan tempat ke pusingan 16 di Piala Dunia FIFA 2026 dengan bergaya selepas membantai Sweden 3-0, pada hari ini.
Skuad bimbingan Didier Deschamps mula membuka tirai jaringan menerusi penyerang prolifiknya, Kylian Mbappe pada minit 45 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Perancis yang turut dikenali sebagai Les Bleus itu menggandakan jaringannya menerusi Bradley Barcola pada minit 53.
View this post on Instagram
Perancis terus mendominasi permainan sehingga Mbappe menjaringkan gol peribadinya yang kedua pada minit 74 untuk menjadikan kedudukan semasa 3-0.
Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Belanda, Danny Makkelie meniup wisel menamatkan permainan di Stadium New Jersey yang dihadiri 80,663 penonton tersebut.
Untuk aksi seterusnya, Perancis akan berhadapan dengan Paraguay di pusingan 16 bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Sementara itu, Mbappe yang menjaringkan dua gol kini menempatkannya sebagai pencabar utama bagi anugerah Kasut Emas – mengumpul enam gol bersama-sama Lionel Messi setakat ini.
FEATURED IMAGE: Equipe de France de Football