Martinez Tinggalkan Portugal Selepas Tewas Kepada Sepanyol
Hafiz Omar

Ketua jurulatih, Roberto Martinez mengumumkan meninggalkan skuad kebangsaan Portugal selepas tersingkir daripada Piala Dunia FIFA 2026, awal pagi tadi.
Skuad berjulukan A Seleção itu tewas kepada Sepanyol hasil jaringan tunggal Mikel Merino pada minit 90+1 ketika bertembung pada pusingan 16 di Stadium Dallas.
Martinez, 52 tahun, mengumumkan meninggalkan Portugal kepada umum dalam sidang media selepas perlawanan sambil merakamkan penghargaan kepada penyokong, Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) dan Presiden FPF iaitu Pedro Proenca.
“Memang benar ini merupakan perlawanan terakhir saya bersama skuad kebangsaan Portugal,” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang rasmi FPF.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu meninggalkan Portugal selepas mengendalikan 45 perlawanan sejak Mac 2023 dengan mencatatkan 32 kemenangan, 6 seri dan 7 kekalahan.
Kenangan paling manisnya pastinya membantu Portugal menjulang trofi Liga Negara-Negara UEFA 2024-25 selepas menumpaskan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti yang berkesudahan dengan skor 5-3.
Untuk makluman, Portugal merupakan pasukan kelima yang dikendalikan dalam karier kejurulatihannya selepas membimbing Swansea City, Wigan Athletic, Everton dan skuad kebangsaan Belgium.
FEATURED IMAGE: Federação Portuguesa de Futebol