Starwave Umum Penerbitan Rancangan Realiti Tinju – The Apex

July 7, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Arena sukan tempur tanah air bakal bertambah meriah apabila syarikat produksi tempatan, Starwave Entertainment tampil mengumumkan pembangunan penerbitan sebuah rancangan realiti antarabangsa melibatkan sukan tinju yang berjudul The Apex.

Starwave mendedahkan rancangan itu akan mendapat sentuhan secara langsung pengarah kreatif siri yang menjadi fenomena dari Korea Selatan, Physical: 100 dan Culinary Class Wars iaitu Bobby Kim.

Rancangan itu tidak sekadar menampilkan aksi bertumbuk di dalam gelanggang dan realiti di dalam pertandingan sebaliknya turut menyajikan kepada para penonton sisi kehidupan peribadi pentinju yang penuh dengan keazaman, cabaran dan disiplin untuk mengejar kejayaan.

Pada penghujung pertandingan, petinju yang merangkul kejuaraan akan membawa hadiah lumayan serta memperoleh pendedahan yang lebih luas dalam arena sukan tempur antarabangsa.

Selain menghimpunkan petinju amatur daripada pelbagai latar belakang dan negara, pihak produksi memaklumkan pihaknya sedang dalam perbincangan untuk meneroka penglibatan seorang petinju terkenal bertaraf dunia bersama rancangan ini.

Proses penerbitannya dijadualkan berlangsung di Malaysia sekaligus membuka peluang dan pembabitan bakat kreatif tempatan, produksi profesional dan rakan industri disamping membawa harta intelek (IP) yang dibangunkan di Malaysia ke pentas antarabangsa.l=  

Starwave Entertainment melihat perancangan penerbitan The Apex ini sebagai pengukuhan kedudukannya sebagai jambatan yang menghubungkan Malaysia dengan industri hiburan global menerusi kerjasama antarabangsa, pembangunan IP asli serta peluang hiburan berskala besar.

Bagi merealisasikan perancangan-perancangan di masa akan datang, Starwave Entertainment kini sedang menggerakkan inisiatif pengumpulan dana bagi menyokong pembangunan karya hiburan termasuk The Apex

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd