The Sky Race Kembali Dengan Format 2 Hari

July 7, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Susulan kejayaan edisi sulung The Sky Race pada tahun lalu, penganjuran The Sky Race pada tahun ini kembali dengan format dua hari sekaligus membolehkan penyertaan lebih ramai peserta untuk merasai sendiri pengalaman menuju ke aras 118 di Merdeka 118.

The Sky Race 2026 dijadualkan berlangsung pada 22hb dan 23hb Ogos 2026 dan ianya bakal menyaksikan penyertaan sehingga 9,000 peserta untuk berlumba menuju ke aras 118 menara kedua tertinggi di dunia itu dengan memanjat 2,845 anak tangga.

Terdapat dua kategori ditawarkan iaitu Kategori Individu dan Kategori Berpasukan (terdiri daripada 3 orang sepasukan) dimana semua peserta perlu melengkapkan pendakian penuh sebelum turun menggunakan lif.

Penganjuran acara serta tarikh rasmi The Sky Race 2026 itu diumumkan secara rasmi oleh penganjurnya, Fresh Events Asia dalam satu majlis yang berlangsung di Look At 118, pada hari ini.

“Sambutan orang ramai terhadap acara tahun ini amat memberangsangkan. Apa yang bermula sebagai visi untuk mencipta acara larian menara bertaraf dunia di salah satu bangunan paling ikonik di dunia, kini telah berkembang menjadi acara sukan penyertaan massa yang paling dinanti-nantikan di Malaysia.” kata Jeffrey Ross, Pengarah Urusan Fresh Events Asia.

Menambahkan lagi kemeriahan, IHH Healthcare Malaysia hadir pada tahun ini sebagai Rakan Penaja Utama sekaligus menjadikan acara ini dinamakan secara rasmi sebagai IHH The Sky Race | Merdeka 118.

“Dengan penyertaan IHH Healthcare Malaysia sebagai Rakan Penaja Utama bagi tempoh tiga tahun akan datang, kami teruja untuk membawa acara ini ke tahap yang lebih tinggi, mencipta pengalaman yang menyemarakkan semangat peserta dari semua peringkat kecergasan untuk mencabar diri, meraikan pencapaian dan menikmati Merdeka 118 dengan cara yang benar- benar unik,” kata Jeffrey lagi.

Sebagai salah satu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu yang terkemuka, kerjasama IHH Healthcare Malaysia dengan The Sky Race mencerminkan komitmennya untuk memajukan kesihatan melangkaui persekitaran hospital serta menggalakkan orang ramai untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam kesejahteraan diri mereka. 

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, IHH Healthcare Malaysia akan menyokong acara ini melalui inisiatif penglibatan komuniti, program kesihatan dan kesejahteraan, aktiviti pra-acara serta perkhidmatan perubatan di tapak acara, bagi mewujudkan pengalaman yang menggalakkan gaya hidup aktif dan komuniti yang lebih sihat.

Selain itu, Ebene turut hadir sebagai Rakan Utama disamping Oligo sebagai Rakan Sokongan. Turut sama menyokong adalah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MvCEB) – sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Untuk makluman, acara ini turut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Larian Menara Malaysia (Malaysian Towerrunning Association, MTA).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd