Jersi Selangor FC x Adidas ‘Home’ & ‘Away’ Lancar Pada 20 Ogos
Hafiz Omar

Naib juara Piala Shopee 2025-26, Selangor FC akan memperkenalkan jersi ‘home’ dan ‘away’ yang akan digunakan sepanjang Liga Malaysia musim 2026-27 pada 20hb Ogos kelak.
Menariknya, acara pengenalan jersi itu bakal menyaksikan skuad berjulukan Gergasi Merah itu kembali menyarung jersi berjenama Adidas – pembekal barangan sukan terkemuka dunia yang berpangkalan di Jerman.
Perkembangan itu hadir selepas kedua-dua pihak mengumumkan kembali menjalinkan kerjasama yang menyaksikan Adidas diangkat sebagai Rakan Kit Rasmi Selangor FC.
View this post on Instagram
“Penyatuan semula ini memperkukuhkan hubungan yang telah lama terjalin sepanjang sejarah Selangor FC. Kedua-dua jenama ini berkongsi semangat yang sama dalam bola sepak serta komited untuk menginspirasikan generasi masa hadapan.”
“Melalui penyatuan ini, Adidas dan Red Giants sekali lagi berganding bahu demi meneruskan legasi yang berteraskan kebanggaan, prestasi dan hala tuju yang jelas.” tulis kenyataan yang dikongsikan kepada pihak media.
Pengumuman Adidas sebagai Rakan Kit Rasmi hadir kira-kira empat hari selepas Selangor FC memaklumkan menamatkan kerjasama selama lapan tahun dengan Joma – jenama sukan dari Sepanyol.
Kali terakhir Selangor FC dilihat menggunakan jersi berjenama Adidas adalah pada musim 2010.