Uruguay Lantik Diego Forlan Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

July 13, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara dunia sebanyak dua kali, Uruguay membuka lembaran baharu apabila melantik legenda iaitu Diego Forlan sebagai pengendalinya menggantikan Marcelo Bielsa yang meletakkan jawatan penghujung Jun lalu.

Bielsa meletakkan jawatan selepas Uruguay gagal melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia FIFA 2026. Skuad berjulukan La Celeste sekadar menamatkan kempen di tempat ketiga peringkat Kumpulan H – di bawah Sepanyol dan Cape Verde.

Memetik laporan beIN Sports, Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) melantik Forlan sebagai ketua jurulatih sementara dengan kontrak sehingga Mac 2027.

Tempoh ini akan digunakan AUF untuk menilai prestasi Forlan sebelum memutuskan untuk melanjutkan kontraknya atau melantik ketua jurulatih baharu bagi kitaran baharu Piala Dunia.

Forlan akan mengendalikan Uruguay untuk perlawanan persahabatan antarabangsa FIFA pada September, Oktober, November serta aksi pada Mac 2027.

Disamping mengendalikan skuad senior, Forlan akan meneruskan tugas sedia adanya iaitu membimbing skuad kebangsaan Uruguay bawah 20 tahun (B-20) yang akan menyertai Kejohanan Amerika Selatan B-20 yang dijadualkan pada Januari 2027.

Untuk makluman, Forlan mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak pada Ogos 2019 dan memulakan karier kejurulatihannya pada tahun 2020 bersama Club Atletico Penarol dan diikuti oleh C.A. Atena.

Forlan yang pernah menyarung gergasi eropah seperti Manchester United, Atletico Madrid dan Inter Milan dilabel sebagai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah Uruguay.

Persembahannya dalam Piala Dunia FIFA 2010 membawa La Celeste mara ke peringkat separuh akhir serta menggondol dua anugerah, Kasut Emas (penjaring terbanyak) dan Bola Emas (pemain terbaik).

FEATURED IMAGE: CONMEBOL Libertadores

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd