Piala Dunia: Sepanyol Kekang Perancis Cipta Rekod

July 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Salah satu pasukan kegemaran ramai, Perancis mengalami kekalahan mengejutkan di peringkat separuh akhir ketika bertemu Sepanyol sekaligus terlepas tiket ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Bukan itu sahaja, Perancis bimbingan Didier Deschamps turut terlepas peluang untuk mencipta rekod mara ke tiga perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut sepertimana dilakukan Jerman Barat (1982, 1986, 1990) dan Brazil (1994, 1998, 2002).

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Dallas itu menyaksikan Sepanyol kendalian Luis de la Fuente melakar kemenangan bergaya 2-0 hasil jaringan Mikel Oyarzabal (22’) dan Pedro Porro (58’).

Gol pertama Sepanyol terhasil daripada sepakan penalti. Pengadil perlawanan dari Elsavador, Ivan Barton menghadiahkannya selepas Lamine Yamal dikasari oleh Lucas Digne berhampiran garisan kotak penalti.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FIFA World Cup (@fifaworldcup)

Manakala gol kedua pula menjelma hasil hantaran satu-dua Porro dengan Dani Olmo sebelum merembat masuk bola mengalahkan penjaga gol, Mike Maignan.

Sepanyol berhasil meletakkan bola ke dalam gawang buat kali ketiga namun jaringan tersebut tidak dikira oleh pengadil selepas penjaga garisan mengangkat bendera memberi isyarat Lamine Yamal berada dalam keadaan ofsaid.

Sepanjang perlawanan itu berlangsung, Perancis merekodkan 14 percubaan berbanding Sepanyol yang merekodkan 10 namun pasukan dari semenanjung Iberia itu menguasai aspek penguasaan bola (51%) dan hantaran (487).

Hasil kemenangan ini, Sepanyol berjulukan La Roja yang mara ke perlawanan akhir, pertama selepas edisi 2010, akan menantikan pemenang pertemuan melibatkan Argentina dan England untuk merebut trofi Piala Dunia edisi ke-23 ini.

Sementara itu, Perancis pula akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga.

FEATURED IMAGE: Seleccion Espanola de Futbol Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd