Kenali Ismail Elfath, Pengadil Perlawanan Argentina vs England

July 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertembungan melibatkan juara bertahan, Argentina dan England untuk merebut tiket ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 akan diadili oleh Ismail Elfath dari Amerika Syarikat kelahiran Maghribi.

Berusia 44 tahun, penampilan Ismail pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Atlanta itu menjadi yang keempat pada edisi kali ini selepas mengadili aksi Jepun-Belanda, Sepanyol-Uruguay dan Norway-Brazil.

Dalam tiga perlawanan tersebut, Ismail telah melayangkan enam kad kuning selain melayangkan kad merah kepada pemain tengah Uruguay, Agustin Cannobbio selepas mengasari pertahanan Sepanyol, Pau Cubarsi.

Dalam pertemuan melibatkan Argentina dan England pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia), Ismail akan ditemani oleh rakan senegaranya, Corey Parker dan Kyle Atkins sementara Maurizio Mariani dari Itali sebagai pegawai keempat.

Untuk makluman, Ismail merupakan pegawai keempat dalam aksi akhir Piala Dunia FIFA 2022 dimana Argentina mengalahkan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti setelah permainan berakhir dengan keputusan seri 3-3.

Sebagai rekod, Ismail disenaraikan sebagai Pengadil FIFA secara rasmi pada tahun 2016 selepas mula berperanan sebagai pengandil perlawanan dalam kancah Major League Soccer (MLS) pada tahun 2012.

Selama 14 tahun dalam kancah MLS, Ismail telah dinamakan sebagai Pengadil Tahunan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2020 dan 2022.

Menariknya, Ismail yang mempunyai ijazah dalam kejuruteraan mekanikal terjun dalam bidang kepengadilan secara tidak sengaja.

Ketika itu, Ismail bermain sebagai penyerang bersama kelab amatur, Austin Lightning dalam kancah USL League Two.

Susulan keputusan-keputusan lemah oleh pengadil semasa bergelar pemain, Ismail membuat keputusan drastik untuk berkecimpung sendiri dalam bidang kepengadilan.

Keputusan itu disusuli dengan menyertai klinik pengadil seterusnya mengadili perlawanan-perlawanan bola sepak peringkat remaja, sekolah tinggi dan liga semi-pro secara separuh masa tatkal masih bekerja dalam bidang jualan IT secara sepenuh masa sebelum merintis kerjayanya ke kancah MLS.

FEATURED IMAGE: Major League Soccer

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd