Kelab Bimbingan Irfan Bakti Raih Slot Terakhir Liga Super 26-27
Hafiz Omar

Kelantan Red Warrior FC bimbingan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti mengisi slot terakhir Liga Super 2026-2027 selepas PDRM FC memutuskan menarik diri daripada kancah tertinggi bola sepak tanah air.
Badan pengelola, Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan media pada hari ini memaklumkan skuad berjulukan The Cops itu menarik diri selepas menghantar surat rasmi kepadanya pada Rabu.
Difahamkan, penarikan diri PDRM FC itu dibuat atas alasan untuk memberi fokus kepada penstrukturan semula kelab.
Sementara itu, MFL menjelaskan Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim lalu di tangga keempat dilihat lebih bersedia untuk dipromosikan ke saingan Liga Super musim ini berbanding UM Damansara United FC (tangga ke-6) dan Bunga Raya FC (tangga ke-12).
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior FC bakal beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 berikutan keputusan penarikan diri PDRM FC.https://t.co/GRv6a4RWGh#LigaSuper2026-27 #LigaMalaysia #DemiLigaKita
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 16, 2026
“Kelantan Red Warrior FC yang menduduki tangga ke-4 Liga A1 musim lalu itu sebelum ini telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan untuk dipromosikan ke Liga Super.” tulis MFL dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, Kelantan Red Warrior FC bersama-sama UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC telah mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB) sekaligus mengemukakan permohonan untuk beraksi dalam kancah Liga Super 2026-2027.
Kehadiran Kelantan Red Warrior FC bersama-sama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim serta Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC (sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC), Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC melengkapkan senarai 12 kelab yang mewarnai Liga Super 2026-2027.
Pada Jumaat lalu, MFL mengumumkan pengurangan penyertaan Liga Super 2026-2027 kepada 12 kelab sahaja berbanding 14 pada musim 2025-2026 (kemudiannya menjadi 13 kelab) bagi memberikan impak positif kepada ekosistem liga – membantu memastikan perlawanan lebih kompetitif dan berkualiti.
Untuk makluman, Liga Super 2026-2027 akan membuka tirainya pada 21hb Ogos 2026 bermula dengan pertemuan Johor Darul Ta’zim dengan Kuching City FC untuk merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan melabuhkan tirainya pada 23hb Mei 2027.
FEATURED IMAGE: Kelantan Red Warrior FC