FAM Seru Peminat Sokong Harimau Malaya Di Piala ASEAN Hyundai
Hafiz Omar

Badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak tanah air untuk bersama-sama memberikan sokonga padu kepada skuad kebangsaan yang akan mengharungi Piala ASEAN Hyunda 2026 yang berlangsung dari 24hb Julai hingga 26hb Ogos kelak.
FAM menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan kepada pihak media berkata kejohanan dwitahunan ini merupakan pentas penting buat skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya menguji kekuatan, memperkukuh keserasian antara pemain serta meneruskan persiapan menghadapi cabaran antarabangsa yang lebih besar pada masa akan datang.
Bahkan ianya menjadi medan buat ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe menguji Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026.
“FAM percaya kekuatan sebenar Harimau Malaya bukan sahaja terletak pada pemain dan barisan kejurulatihan, malah turut didorong oleh semangat penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan kebangsaan.”
“Sehubungan itu, FAM berharap sokongan padu daripada seluruh penyokong akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain beraksi dengan penuh komitmen, disiplin dan semangat juang demi mengharumkan nama negara.” tulis kenyataan itu.
Ketika ini, Harimau Malaya telah memulakan kem latihan pusat sebagai persiapan untuk turun bertemu Myanmar pada 25hb Julai – aksi pertama peringkat Kumpulan B.
Beberapa hari lalu, pergerakan penyokong tegar, Ultras Malaya menerusi satu hantaran di akaun media sosial UM’07 melancarkan boikot “Kosongkan Stadium” terhadap aksi Harimau Malaya dalam saingan Piala Hyundai ASEAN.
Boikot terbabit digerakkan bagi menuntut FAM memulihkan bola sepak untuk rakyat dan tidak dijadikan mainan golongan bangsawan, hiburan buat golongan elit dan alat percaturan politik.