Terbuka Jepun: Beregu No.1 Noktahkan Kempen Aaron-Khai Xing

July 17, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Kempen beregu lelaki muda negara yang menghuni tangga ke-22 dunia, Aaron Tai dan Kang Khai Xing di Terbuka Jepun 2026 terhenti setakat peringkat suku akhir hari ini.

Gandingan berusia 19 dan 20 tahun masing-masing yang sedang meningkat naik itu terpaksa akur dengan kehebatan beregu No.1 dunia dari Korea, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae.

Bertembung di Gelanggang 1, Aaron-Khai Xing dilihat bergelut bermula daripada set pertama hingga ke pukulan terakhir pada set kedua untuk menyaingi kepantasan dan pengalaman Kim-Seo. 

Gandingan juara dunia edisi 2025 hanya memerlukan 33 minit untuk menoktahkan permainan dengan keputusan 21-13 dan 21-10 sekaligus menyingkirkan Aaron-Khai Xing daripada Jelajah Dunia BWF Super 750 ini. 

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Aaron-Khai Xing menjejaki pentas suku akhir di kejohanan bertaraf Super 750 selepas mara ke peringkat yang sama di Terbuka Singapura, hujung Mei lalu.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd