Mbappe Cipta Sejarah Menang Kasut Emas 2 Kali Berturut-Turut
Hafiz Omar

Bintang skuad kebangsaan Perancis, Kylian Mbappe meletakkan namanya selaku penjaring paling berbisa selepas meledak 10 gol dalam kancah Piala Dunia FIFA 2026.
Jumlah jaringan itu sekaligus membolehkannya merangkul anugerah Kasut Emas Adidas mengetepikan beberapa lagi penggempur prolifik seperti Lionel Messi (Argentina, 8 gol), Jude Bellingham (England, 7 gol), Erling Haaland (Norway, 7 gol), Ousmane Dembele (6 gol, Perancis) dan Harry Kane (England, 6 gol).
Selain itu, Mbappe turut menghasilkan empat bantuan gol (assist) sekaligus menyaksikan pemain berusia 27 tahun terlibat dalam 14 gol bersama skuad berjulukan Les Bleus pada kempen kali ini.
View this post on Instagram
Kejayaan merangkul anugerah itu turut memperlihatkan Mbappe memahat sejarah selaku pemain pertama merangkul Kasut Emas dua kali berturut-turut selepas memenanginya di Piala Dunia FIFA 2022 hasil meledak 8 gol.
Bukan itu sahaja, Mbappe turut memperbaharui rekod dengan menjadi pemain keempat yang menjaringkan gol dengan angka dua digit dalam satu kempen Piala Dunia selepas Sandor Kocsis (11 go, 1954), Just Fontaine (13 gol, 1958) dan Gerd Muller (10 gol, 1970).
Untuk makluman semua, anugerah Kasut Emas Adidas diberikan kepada pemain yang menjaringkan gol paling banyak dalam saingan Piala Dunia. Sekiranya terdapat dua pemain atau lebih mengumpul jumlah jaringan yang sama, jumlah bantuan gol (assist) akan diambil kira untuk menentukan pemenangnya diikuti dengan minit permainan.
FEATURED IMAGE: Equipe de France de Football