DBKL Sedih, Hannah Kecewa Dataran Merdeka Penuh Sampah Selepas Tayangan Piala Dunia

July 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Dataran Merdeka ditinggalkan dalam keadaan penuh sampah sarap selepas berakhir acara tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Acara yang menyiarkan pertembungan melibatkan Sepanyol dan Argentina merebut gelaran juara Piala Dunia edisi ke-23 di Stadium New York New Jersey itu menarik ribuan peminat bola sepak yang berkampung sejak tengah malam tadi.

Ianya berakhir dengan skuad berjulukan La Roja bimbingan Luis de la Fuente mencatatkan kemenangan 1-0 hasil jaringan Ferran Torres pada minit 106.

Pihak berkuasa tempatan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan kesedihan melihat padang bersejarah itu berubah keadaannya selepas semua peminat pulang.

Sedih melihat keadaan Dataran Merdeka selepas aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.” tulis DBKL menerusi akaun Facebook rasminya.

DBKL berkata petugas-petugasnya akan turun mengutip sampah yang ditinggalkan dan membersihkannya sepertimana keadaan sedia kala.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, YB Hannah Yeoh turut melontarkan kekecewaan yang sama terhadap sikap meninggalkan sampah di Dataran Merdeka.

Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi acara. Ia sebahagian daripada sejarah negara dan maruah kota kita.” tulis Hannah menerusi akaun media sosialnya.

Menerusi sekeping foto yang dikepilkan oleh DBKL, Dataran Merdeka kembali ceria dan bersih sepertimana keadaan sediakala selepas kesemua sampah sarap telah dikutip oleh petugas sekitar jam 10 pagi tadi.

Featured Image: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd