Penyerang Naturalisasi Sertai Terengganu FC – Kontrak Semusim

July 21, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain kelahiran Colombia yang mempunyai kerakyatan Malaysia, Romel Morales melanjutkan karier bola sepaknya bersama Terengganu FC yang kini di bawah bimbingan Nafuzi Zain.

Penyerang yang bakal menginjak usia 29 tahun itu diperkenalkan sebagai pemain baharu Terengganu FC secara rasmi menerusi perkongsian akaun media sosial dan laman sesawang rasmi kelab berkenaan, pada hari ini.

Dimaklumkan, pemain yang mempunyai ketinggian 1.87 meter (m) itu telah menandatangani kontrak selama semusim bersama Terengganu FC.

Romel tiba di bumi Darul Iman selepas dua musim menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mencatatkan 40 penampilan serta meledak 22 gol dan mencetak 4 bantuan gol.

Romel mula berkelana di Malaysia ketika awal 20-an dengan menyertai PKNS FC diikuti Melaka United FC. Nama Morales mula mendapat perhatian ramai peminat bola sepak tempatan ketika bersama skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC.

Bersama kelab itu, Romel merupakan sebahagian daripada skuad yang meraih kejuaraan Piala Malaysia 2021 selain muncul naib juara Piala AFC 2022.

Setelah beraksi selama lima tahun berturut-turut di Malaysia, Romel dinaturalisasikan dan mendapat kad pengenalan biru sekaligus membolehkannya mewakili skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Sehingga ke hari ini, Romel yang meraih debutnya pada 15hb Januari 2024 ketika bertemu Jordan telah merekodkan 13 penampilan selain menjaringkan 4 gol dan mencetak 1 bantuan gol.

Untuk makluman, Romel merupakan pemain baru yang ketujuh ditandatangani Terengganu FC untuk mengharungi musim 2026-27 selepas mengikat Faiz Mazlan, Habib Haroon, Elvis Kamsoba, Haziq Kutty, Danial Amier dan Manuel Ott.

FEATURED IMAGE: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd