KBS Bincang & Teliti Penganjuran F1 Di Sepang Ganti Bahrain GP – Dr. Taufiq

July 24, 2026
Formula 1

Hafiz Omar

Sebarang kemungkinan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menggantikan Bahrain Grand Prix (GP) sedang dibincangkan dan diteliti oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menerusi satu kenyataan kepada pihak media pada hari ini mengesahkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pihaknya telah menerima makluman mengenai cadangan itu.

Taufiq menegaskan kementeriannya komited menyokong sukan permotoran negara namun keputusan untuk menganjurkan perlumbaan berprestij antarabangsa itu akan dimaklumkan selepas segala aspek berkaitan dimuktamadkan. 

“Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan F1 Bahrain.”

“Sehubungan dengan perkara ini, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan.”

“KBS kekal komited dengan misinya untuk terus menyokong pembangunan sukan negara, termasuklah sukan permotoran.” 

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan setelah ianya dimuktamadkan.” katanya.

Terdahulu, SIC disebut-sebut sebagai satu daripada lokasi pilihan untuk menggantikan Bahrain GP yang asalnya dijadualkan berlangsung pada 12hb April 2026 namun dibatalkan susulan ketidaktentuan konflik di Asia Barat.

SIC dilaporkan berada dalam senarai untuk dipertimbangkan dengan perlumbaan berpotensi diadakan di antara Azerbaijan GP (26hb September) dan Singapore GP (11hb Oktober).

Sebagai rekod, kali terakhir perlumbaan F1 berlangsung di SIC adalah pada tahun 2017.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd