Dollah Salleh Sambung Karier Kejurulatihan Bersama KL City FC
Hafiz Omar

Legenda bola sepak tanah air, Dato’ Dollah Salleh kembali mengendalikan kelab Liga Super apabila dinamakan secara rasmi sebagai Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City).
Pengumuman pelantikan Dollah, 62 tahun, sebagai ketua jurulatih dikongsikan oleh skuad berjulukan The City Boys menerusi pemberitahuan di akaun Facebook rasmi, pada Khamis.
Dollah yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hadir menggantikan pengendali terdahulu, Risto Vidakovic yang direhatkan sekitar April 2026.
Dollah menyambung karier kejurulatihannya selepas mengemudi Sri Pahang FC secara sementara bermula pertengahan musim 2022 selepas berperanan sebagai Pengurus Pasukan sejak awal musim.
Menerusi makluman oleh KL City, kehadiran Dollah turut ditemani oleh Ishak Kunju, bekas ketua jurulatih PDRM, dan Azmin Azram, jurulatih penjaga gol, mengisi barisan staf kejurulatihannya.
Selama bergelar ketua jurulatih, Dollah telah membantu beberapa kelab dan pasukan menjuarai trofi utama dalam kancah bola sepak tanah air. Paling diingati adalah kejayaannya membawa MPPJ FC menjuarai Piala Malaysia 2003 dan Pahang FA menjulang Piala Malaysia 2013 dan Piala FA 2018.