F1 Pilih Sepang Sebagai Hos Bahrain GP, Tarikh 2-4 Oktober

July 26, 2026
Formula 1

Hafiz Omar

Deruman enjin jentera Formula 1 (F1) kembali ke bumi Malaysia selepas sembilan tahun apabila penganjurnya mengumumkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dipilih sebagai hos bagi melangsungkan Bahrain Grand Prix (GP).

Perlumbaan keempat F1 musim 2026 itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 10hb – 12hb April lalu namun dibatalkan bersama-sama Saudi Arabian GP susulan peperangan yang berlaku di Asia Barat.

Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh F1 di laman sesawang dan pelbagai akaun media sosialnya sambil berkongsikan tarikh perlumbaan iaitu 2hb hingga 4hb Oktober kelak – di antara Azerbaijan GP dan Singapore GP.

“Perjanjian ini, dicapai antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia, membolehkan Formula 1 mengekalkan perlumbaan ini yang mana (jika tidak kerana perjanjian ini), ianya tidak akan dapat dilangsungkan. Baki jadual (perlumbaan) untuk 2026 tidak berubah.” tulis kenyataan oleh F1.

Bagaimanapun, maklumat mengenai tiket untuk perlumbaan terbabit tidak dikongsikan lagi namun dimaklumkan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebagai rekod, SIC mula menjadi hos bagi perlumbaan F1 pada tahun 1999 dan dilabelkan sebagai satu daripada litar yang ikonik dan mencabar selain dikenali cuaca yang seringkali tidak dapat diramalkan.

Kali terakhir perlumbaan F1 berlangsung di SIC, Max Verstappen (Red Bull Racing) muncul sebagai pemenang sambil Lewis Hamilton (Mercedes) dan Daniel Ricciardo (Red Bull Racing) melengkapkan kedudukan podium pada tahun 2017. 

FEATURED IMAGE: Formula 1

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd