Petronas Tegaskan Tak Jual Tiket F1

July 28, 2026
Formula 1

Hafiz Omar

Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas selaku pemegang hak penamaan bagi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menegaskan tidak berperanan sebagai penganjur bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Bahrain GP.

Oleh demikian, menerusi satu kenyataan media, Petronas menjelaskan pihaknya tidak menguruskan, mengawal atau mempunyai akses kepada peruntukan, penjualan atau pengedaran tiket bagi perlumbaan yang dijadualkan berlangsung di SIC pada 2hb-4hb Oktober kelak.

“Penjualan tiket diuruskan sepenuhnya oleh penganjur acara dan saluran yang diiktiraf sahaja.” demikian kenyataan oleh Petronas menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada Isnin.

Petronas turut memaklumkan SIC adalah milik Sepang International Circuit Sdn. Bhd. yang merupakan sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dan pada masa yang sama dikendalikan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Terdahulu, F1 memutuskan perlumbaan Bahrain GP yang sepatutnya berlangsung 10hb-12hb April lalu akan dilangsungkan di SIC – menyaksikan perlumbaan F1 kembali semula ke Sepang selepas sembilan tahun. 

Perkembangan itu hadir selepas F1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia mencapai kata sepakat untuk menganjurkannya di Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd