FAM: Terima Kasih Penyokong Harimau Malaya
Hafiz Omar

Kemenangan besar 4-0 skuad bola sepak kebangsaan ke atas Laos pada aksi kedua Kumpulan B di Piala Hyundai ASEAN 2026 turut diiringi dengan kehadiran 10,044 penonton dan penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Malaysia berjulukan Harimau Malaya meraih kemenangan besar itu hasil jaringan Paulo Josue (45’), Endrick dos Santos (57’), jaringan sendiri V. Sydavong (66’) dan Wan Kuzain (84’).
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media pada hari ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir memberikan sokongan padu pada perlawanan itu.
Pada masa yang sama, badan induk itu mengharapkan sokongan itu diulangi ketika skuad bimbingan Tan Cheng Hoe melayan kunjungan Filipina pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B pada 8hb Ogos (Sabtu) kelak.

“Kehadiran ribuan penyokong yang memenuhi stadium dengan semangat serta sorakan tanpa henti telah menjadi pembakar semangat kepada para pemain untuk memberikan aksi terbaik di atas padang. Sokongan luar biasa daripada penyokong sentiasa menjadi kekuatan utama buat skuad kebangsaan dalam setiap perlawanan.”
“FAM turut menghargai komitmen semua penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang Harimau Malaya dan berharap sokongan padu ini akan diteruskan pada perlawanan seterusnya menentang Filipina di venue yang sama pada Sabtu, 8 Ogos 2026.” tulis kenyataan itu.
Sebelum bermulanya kempen Piala Hyundai ini, pergerakan penyokong tegar, Ultras Malaya melancarkan boikot “Kosongkan Stadium” terhadap aksi Harimau Malaya dalam pertandingan dwitahunan terbabit.
Boikot itu digerakkan bagi menuntut badan induk bola sepak tanah air memulihkan bola sepak untuk rakyat dan tidak dijadikan mainan golongan bangsawan, hiburan buat golongan elit dan alat percaturan politik.