Sukan Komanwel: Hafizuddin Beri Pingat Emas Ke-4 Buat Malaysia
Hafiz Omar

Kem angkat berat terus menyumbang pingat emas buat Kontinjen Malaysia Muhammad Hafizuddin Roslin berhasil mengungguli acara angkat berat kategori 88 kilogram (kg) lelaki pada Selasa.
Atlet berusia 22 tahun kelahiran Perlis yang tampil buat julung kalinya di temasya Sukan Komanwel meraih kilauan pingat emas selepas merekodkan angkatan keseluruhan seberat 345kg menerusi 162kg bagi “snatch” dan 183kg dalam “clean and jerk”.
Bertambah manis, rekod angkatan 162kg dalam “snatch” itu turut membolehkannya memperbaharui rekod kebangsaan seberat 160kg miliknya sendiri yang tercipta semasa menyertai Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember lalu.

Manakala rekod angkatan 345kg itu pula menjadi rekod baharu temasya bagi kategori 88kg memandangkan ianya merupakan kategori baharu yang diperkenalkan pada Sukan Komanwel edisi ini.
Sementara itu, atlet New Zealand, David McTaggart membawa pulang pingat perak dengan angkatan keseluruhan seberat 338kg manakala atlet tuan rumah, Angus Doig yang menyempurnakan angkatan seberat 309kg merangkul pingat gangsa.
Hafizuddin merupakan atlet angkat berat negara keempat menyumbang kilauan pingat emas buat Kontinjen Malaysia selepas Aniq Kasdan, Aznil Bidin dan Erry Hidayat memenangi kategori 60kg, 65kg dan 79kg masing-masing.
FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia