Tang Jie-Ee Wei Tak Pertahan Kejuaraan Dunia

July 29, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei nampaknya tidak dapat mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya di Kejohanan Dunia BWF 2025.

Menerusi satu kenyataan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pasangan 28 dan 25 tahun masing-masing itu menarik diri daripada Kejohanan Dunia BWF 2026 yang dijadualkan berlangsung 17hb hingga 23hb Ogos kelak. 

Badan induk itu menjelaskan keputusan menarik diri itu dilakukan susulan Ee Wei masih menjalani pemulihan selepas melakukan pembedahan pada lutut kirinya, awal Julai baru-baru ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by BAM (@ba_malaysia)

Ee Wei menjalani pembedahan itu di Melbourne, Australia dan ianya dilakukan selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika beraksi di Terbuka Singapura 2026.

“Keputusan itu diambil berdasarkan nasihat perubatan, dengan mengekalkan keutamaan terhadap pemulihan jangka masa panjang,” tulis kenyataan oleh BAM.

Pada masa yang sama, BAM turut memaklumkan telah menghantar permohonan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk melindungi ranking Ee Wei semasa menjalani tempoh pemulihan.  

Sementara itu, pasangannya, Tang Jie kini mengharungi beberapa siri Jelajah Dunia BWF 2026 bersama pemain muda, Clarissa San.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd