Sukan Komanwel: Malaysia Raih Pingat Keenam Menerusi Syahmi Ghazali

July 29, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia kini mengumpul enam pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2026 selepas atlet angkat berat negara, Syahmi Nor Ghazali berjaya mengungguli kategori 94 kilogram (kg).

Atlet berusia 22 tahun memenangi kategori terbabit selepas melakukan angkatan keseluruhan seberat 347kg menerusi 150kg dalam “snatch” dan memecahkan rekod temasya dengan angkatan 197kg menerusi “clean and jerk”.

Angkatan itu berhasil mengatasi pencabar terdekatnya, Alex Bellemerre dari Kanada yang terpaksa berpuas hati dengan kilauan pingat perak selepas merekodkan jumlah angkatan seberat 346kg.

Atlet angkat berat dari Australia, Oliver Rilet Saxtob pula melengkapkan kedudukan podium dan meraih pingat gangsa dengan angkatan 336kg.

Ini merupakan pencapaian terbaik Syahmi selepas merangkul pingat perak dalam kategori yang sama di Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember lalu.

Syahmi menjadi atlet angkat berat kelima menyumbangkan pingat emas buat Kontinjen Malaysia mengikuti jejak langkah Aniq Kasdan (60kg), Aznil Bidin (65kg), Erry Hidayat (79kg) dan Hafizuddin (88kg).

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd