Perancis Perkenal Logo Baharu Selepas Umum Kehadiran Zidane
Hafiz Omar
Skuad kebangsaan Perancis tampil memperkenalkan logo baharu sehari selepas mengumumkan pelantikan rasmi legendanya, Zinedine Zidane sebagai ketua jurulatih baharu.
Logo baharu itu masih mengekalkan elemen utamanya iaitu ayam jantan namun dilakar dengan lebih kemas dan jelas serta digayakan dengan lebih megah.
Lukisan ayam itu pula berpaling ke kiri berbanding ke kanan sepertimana dilihat pada logo lama.
Notre emblème, notre héritage 🐓✨ pic.twitter.com/g16gji3Aev
— Equipe de France ⭐⭐ (@equipedefrance) July 29, 2026
Menurut Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), reka bentuk logo baharu ini merujuk kepada logo awal digunakan oleh FFF bermula 1920-an serta logo-logo pada dekad seterusnya.
Antara lain, FFF turut menyematkan identiti baharu ini dengan perkataan “FRANCE” – menguatkan penyataan peranan pasukan-pasukan kebangsaan dalam mewakili Perancis di peringkat antarabangsa.
Identiti baharu ini memenuhi beberapa objektif iaitu memodenkan penjenamaan visual sedia ada, menyesuaikannya dengan lebih berkesan untuk kegunaan digital, pemasaran dan acara, serta menawarkan kerangka grafik yang bersepadu untuk semua pasukan kebangsaan.
Sehari sebelum memperkenalkan logo baharu ini, FFF telah mengumumkan pelantikan Zidane sebagai ketua jurulatihnya secara rasmi dengan kontrak selama empat tahun.
Tempoh itu bakal menyaksikan Zidane, pemenang Piala Dunia FIFA 1998, akan membimbing Perancis mengharungi dua kejohanan besar iaitu Euro 2028 dan Piala Dunia FIFA 2030.
Zidane dipilih bagi menggantikan Didier Deschamps yang berundur selepas berakhirnya Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico baru-baru ini.
FEATURED IMAGE: Equipe de France