Sukan Komanwel: Azizulhasni Hadiahkan Emas Ketujuh Buat Malaysia

August 1, 2026
Basikal

Hafiz Omar

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil cemerlang dalam acara keirin lelaki sekaligus menghadiahkan pingat emas ketujuh buat Kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel 2026.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang berusia 38 tahun terbabit meraih kilauan pingat itu apabila muncul yang pertama melintasi garisan penamat dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Kemenangan itu turut mengakhiri penantian selama 16 tahun pelumba berjulukan “The Pocket Rocketman” untuk bergelar juara di temasya Sukan Komanwel – memperbaiki pencapaian meraih gangsa di Glasgow pada edisi 2014.

Dalam perlumbaan akhir itu, Azizuil bermula dari kedudukan keempat dan dan perlahan-perlahan menempatkan dirinya di kedudukan kedua – di belakang Leigh Hoffman dari Australia.

Setelah loceng dibunyikan, Azizul terus memecut untuk memintas Hoffman pada selekoh terakhir dan meneruskan kayuhan bertenaganya sehingga ke garisan penamat.

Hoffman terpaksa akur menamatkan perlumbaan itu di kedudukan kedua dan membawa pulang pingat perak sementara Harry Ledingham-Horn mengikuti di belakang di tempat ketiga untuk meraih pingat gangsa.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula gagal mara ke perlumbaan akhir dalam acara ini selepas terkandas di peringkat separuh akhir.

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd