MOM Sokong PABM Diberi RM1 Juta Setahun

August 3, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan Persetuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menyatakan sokongan terbabit sebagai penghargaan atas kejayaan luar biasa Pasukan Angkat Berat yang menyumbang tujuh pingat – lima emas, satu perak dan satu gangsa – kepada Kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Kejayaan bersejarah ini membuktikan visi, komitmen dan perancangan strategik yang jelas oleh kepimpinan Persekutuan Angkat Berat Malaysia yang diterajui dengan penuh dedikasi oleh Presidennya, Datuk Ayub Rahmat, serta disokong oleh barisan pemegang jawatan, jurulatih, atlet, penaja dan rakan strategik yang berdedikasi.” ujar Norza menerusi satu kenyataan media, pada hari ini.

Prestasi Pasukan Angkat Berat negara di Sukan Komanwel pada kali ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila julung kalinya dianugerahkan Trofi Trafalgar sebagai Pasukan Angkat Berat Lelaki terbaik secara keseluruhan di temasya terbabit.

Trofi berkenaan disampaikan Presiden Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), Mohammed Jalood dan Pemangku Presiden Persekutuan Angkat Berat Komanwel (CWF), Tom Liaw kepada Ayub Rahmat sambil disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Datuk Dr. Nur Azmi Ahmad selepas Mesyuarat CWF pada Jumaat.

Untuk pengetahuan semua, Trofi Trafalgar diperkenalkan pada Sukan Komanwel Ke-11 di Edmonton, Kanada pada tahun 1978. Ianya dinamakan sempena Pertempuran Trafalgar pada 1805 sebagai sebahagian daripada tradisi sukan angkat berat di temasya Komanwel.

Anugerah itu diberikan kepada pasukan angkat berat lelaki terbaik pada setiap edisi Sukan Komanwel.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd