Salah Ke Turki
Hafiz Omar
Teka-teki mengenai karier Mohamed Salah selepas meninggalkan Liverpool terjawab apabila penyerang kelahiran Mesir itu menyarung jersi Trabzonspor, pada hari ini.
Kelab berpangkalan di Turki yang menamatkan Superlig musim lalu di tempat ketiga mengumumkan penyertaan Salah bersama kelabnya menerusi pelbagai akaun media sosialnya.
Hantaran itu disertakan dengan video pendek berdurasi 21 saat serta empat keping gambar yang turut menampilkan Salah diberikan jersi bernombor 61 untuk disarung sepanjang bersama Trabzonspor.
Bagaimanapun, tiada sebarang perincian mengenai kontrak Salah seperti tempoh kontrak, gaji dan imbuhan bersama Trabzonspor didedahkan kepada pihak umum.
Terdahulu, pelbagai laporan media mengaitkan Salah dengan sebuah lagi kelab di Turki iaitu Besiktas namun tiada kata putus di antara kedua-dua pihak.
Sebelum itu, pemain berusia 34 tahun itu turut menarik minat kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) dan Liga Pro Saudi (SPL) apabila beliau mengumumkan tidak melanjutkan kontrak bersama Liverpool sekitar penghujung Mac lalu.
Salah dilabelkan antara pemain terbaik pernah menyarung jersi The Reds selepas membantu kelab berpangkalan di Merseyside itu menjuarai Liga Perdana (PL), Piala FA, Piala Liga, Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala Super UEFA, dan Piala Dunia Kelab FIFA.
Featured Image: Trabzonspor