Mustapha Nagoor Kekal Exco Sukan Negeri Sembilan
Hafiz Omar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor kekal menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak (Exco) Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan.
Mustapha atau turut dikenali sebagai Pak Mus kekal menyandang jawatan itu pada penggal ini selepas menghadiri Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, pada hari ini.
“Dengan perkenan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta selaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Pak Mus telah diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan (EXCO Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan).” tulisnya di akaun media sosial peribadinya.
“Bagi Pak Mus, amanah ini bukan sekadar satu pelantikan, tetapi merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk digalas dengan penuh keikhlasan, integriti dan kesungguhan demi berbakti kepada rakyat serta memacu pembangunan belia dan sukan Negeri Sembilan ke arah yang lebih cemerlang.” tambahnya.
Terdahulu, Mustapha yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Palong selepas memperoleh 15,197 dunia mengetepikan pencabarnya, Zahin Zinal daripada Pakatan Harapan (PH) yang meraih 1,495 undi dan Rebin Bin Birham daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendapat 590 undi.
FEATURED IMAGE: Facebook Mustapha Nagoor