Kelantan City Sasar Kejuaraan Liga A1 Semi-Pro

August 13, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelantan WTS FC yang dijenamakan semula menjadi Kelantan City FC meletakkan sasaran untuk bergelar juara Liga A1 Semi-Pro 2026-2027 yang akan membuka tirainya penghujung Ogos ini.

Pengurus Kelantan City, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah menjelaskan sasaran yang diletakkan kelabnya itu realistik berdasarkan persiapan yang telah dirancang selepas berakhirnya saingan musim lalu.

Pada masa yang sama, keyakinan untuk mensasarkan gelaran juara itu turut disokong dengan pembentukan skuad yang terdiri daripada ramai pemain berpengalaman dan digabungkan dengan pemain sedia ada.

Antara pemain berpengalaman yang bersama Kelantan City ialah Hadin Azman, Nazrin Nawi dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria.

Kita memiliki pemain-pemain berkualiti dan persiapan yang telah dijalankan pada peringkat awal baik dari segi pemain, jurulatih mahu pun pengurusan.”

“Jadi bagi saya Kelantan City FC perlu menamatkan saingan musim ini dengan gelaran kejuaraan,” katanya.

Satu daripada persiapan Kelantan City untuk mengharungi musim baharu adalah melantik ketua jurualtih dari Brazil, Wanderly Machado da Silva Junior sambil dibantu oleh legenda-legenda bola sepak Negeri Kelantan seperti Zairul Fitree Ishak, Farisham Ismail, Daudsu Jamaluddin dan Shahrizan Ismail.

Beberapa siri perlawanan persahabatan telah diadakan dan ianya memberikan banyak pendedahan kepada pemain dan barisan kejurulatihan dalam mempersiapkan pasukan.

“Jurulatih telah menilai pemain dari segi kecergasan dan kesefahaman dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang kita adakan.”

“Alhamdulillah kita telah mengenalpasti beberapa kelemahan dan kekuatan yang ada dalam pasukan, mereka (pemain) semua telah bersiap sedia dan hanya menunggu sepak mula saingan bagi memperagakan kualiti yang ada,” tambahnya.

Kelantan City akan memulakan kempen Liga A1 dengan melayan kunjungan Malaysia University di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 29hb Ogos (Sabtu).

FEATURED IMAGE: AFL

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd