Scotland Lantik Ketua Jurulatih Baharu

August 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Scotland yang tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia FIFA 2026 mendapat ketua jurulatih baharu, Sebastien Pocognoli, bagi menggantikan Steve Clarke yang meletakkan jawatan sekitar penghujung Jun lalu. 

Pocognoli, 39 tahun, kelahiran Belgium bersetuju menurunkan tandatangannya di atas kontrak untuk membimbing Scotland selama dua tahun.

Persatuan Bola Sepak Scotland mengumumkan pelantikan Pocognoli, dilabelkan secara meluas sebagai bakat kejurulatihan paling menyerlah di eropah, menerusi laman sesawang rasminya.

Pocognoli memulakan kariernya sebagai sebagai ketua jurulatih skuad senior bersama Union Saint-Gilloise dan menamatkan musim pertamanya dengan menjuarai Liga Pro Belgium 2024-25 – kejuaraan pertama kelab dalam tempoh 90 tahun.

Kejayaan itu membawa mereka ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara UEFA buat julung kalinya dalam sejarah selain menjulang Piala Super Belgium.

Kecemerlangan Pocognoli itu membolehkan merangkul gelaran Jurulatih Terbaik Tahunan Belgium dan mendapat tugasan selaku ketua jurulatih AS Monaco pada 2025.

Bagaimanapun, perjalanannya bersama Monaco hanya bertahan semusim sehaja biarpun pada awalnya telah menandatangani kontrak selama dua musim.

Monaco bimbingan Pocognoli menamatkan saingan 2025-26 dengan menghuni tangga ketujuh Ligue 1 (16 menang, 9 seri dan 13 kalah) dan sekadar meraih slot ke aksi play-off Liga Konferens UEFA.

Bersama Scotland, Pocognoli akan turun ke tepi padang buat julung kalinya pada 29hb September kelak untuk bertarung dengan Slovenia di tempat lawan dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA.

FEATURED IMAGE: AS Monaco

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd