Ronaldo Beri Bayangan Bersara Tahun 2027

August 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo memberikan bayangan akan bersara sebagai pemain bola sepak pada tahun 2027.

Persaraan itu bakal menoktahkan karier 25 tahunnya sebagai pemain bola sepak selepas beraksi bersama Sporting CP, Manchester United, Real Madrid, Juventus, Al Nassr dan Portugal.

Ronaldo, 41 tahun, berkongsikan bayangan untuk menggantung butnya pada tahun hadapan itu dalam temu ramah bersama majalah, Vogue.

“Ini mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak dan saya mahu meninggalkan legasi yang hebat,” katanya artikel yang diterbitkan majalah itu.

“Saya telah membuat segala perancangan untuk masa hadapan,” tambahnya lagi.

“Saya ada banyak perkara untuk memastikan saya sentiasa sibuk sehinggakan sukar untuk memberitahu hanya satu (perkara). Kerana bola sepak akan meninggalkan kekosongan yang besar, awak perlu mengisi masa dengan pelbagai cara, bukan hanya satu.” ujarnya.

Ronaldo berkata dirinya akan berseronok dengan lebih, melancong, menonton dan bermain padel, permainan kesukaannya, dan menikmati apa yang telah diperolehnya setelah melalui 25 tahun dengan banyak pengorbanan.

Sebelum ini, pemain yang menjuarai lima trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) itu memasang impian untuk memburu 1,000 gol dalam kariernya sebelum bersara daripada bola sepak.

Pada saat ini, Ronaldo telah menjaringkan 970 gol termasuk tiga jaringan terbarunya ketika di Piala Dunia FIFA 2026 semasa bertemu Uzbekistan dan Croatia.

Ini bermakna, pemain kelahiran Madeira itu hanya memerlukan 30 gol sahaja lagi untuk merealisasikan impian 1,000 golnya itu.

FEATURED IMAGE: Al Nassr FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd