KBS Setuju Pertimbang Salur RM1 Juta Untuk Angkat Berat
Hafiz Omar

Permohonan peruntukan tambahan lebih RM1 juta setahun oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dipersetujui secara prinsip oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Terdahulu, PABM memohon peruntukan tambahan itu selepas kem angkat berat negara memperagakan pencapaian cemerlang di Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan membawa pulang lima emas, satu perak dan satu gangsa.
Persetujuan itu dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari selepas permohonan itu dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 13hb Ogos lalu.
Susulan itu, MSN dan PABM mengadakan satu perbincangan lanjut dan mencapai persetujuan terhadap beberapa bentuk bantuan serta penambahbaikan melibatkan peruntukan RM1 juta terbabit.

Antaranya, kemudahan di Pusat Latihan Angkat Berat Rompin, Pahang akan dinaik taraf dengan cadangan untuk menjadikannya sebagai Pusat Kecemerlangan (COE) Sukan Angkat Berat Kebangsaan.
Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melantik jurulatih sepenuh masa, pegawai “strength & conditioning” sepenuh masa dan memperkasa pembangunan jurulatih dan pegawai teknikal.
MSN dan PABM turut bersetuju untuk menambah kuota atlet angkat berat di bawah Program Pelapis MSN selepas temasya SUKMA Selangor 2026, memberi tumpuan lebih khusus kepada pembangunan atlet wanita dan menyelaras penganjuran Kejohanan Angkat Berat melibatkan atlet negeri melakui PABM.
Tidak ketinggalan, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia turut dipersetujui bagi memperkukuh pembangunan sukan angkat berat di peringkat sekolah.
“Pencapaian di Sukan Komanwel Glasgow 2026 telah membuktikan sukan angkat berat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan melakar kejayaan. Bantuan dan penambahbaikan ini bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian semasa, tetapi juga pelaburan jangka panjang bagi membina ekosistem sukan angkat berat yang lebih kukuh.” kata Taufiq.