Stadium Larkin Gelanggang Alternatif – CEO Kuching City FC

August 19, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyenaraian Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos sebagai gelanggang rasmi buat Kuching City FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2026-27 menimbulkan polemik dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air termasuk peminat setianya.

Turut dikenal sebagai Stadium Larkin dan pernah digunakan sebagai gelanggang rasmi bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tersenarai sebagai venue rasmi Kuching City berdasarkan dokumen jadual perlawanan yang dikongsikan oleh pihak penganjur sendiri, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City, Iswandi Ali Hassan menerusi satu kenyataan media tampil menjelaskan bahawa stadium itu hanya dinamakan sebagai gelanggang alternatif dan ianya sebahagian daripada langkah persediaan kelab sekiranya venue utama, Stadium Taha Ariffin (dahulunya dikenali sebagai Stadium Negeri) tidak mendapat kelulusan AFC pada tarikh yang ditetapkan.

“Ketika ini, kerja-kerja menaik taraf Stadium Taha Ariffin sedang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan piawaian AFC. Kami yakin segala usaha sedang digerakkan untuk memastikan stadium tersebut bersedia dalam tempoh yang ditetapkan.” katanya.

“Penyenaraian Stadium Larkin sebagai gelanggang alternatif pada ketika ini tidak bermaksud Kuching City FC telah meninggalkan Kuching atau akan beraksi di Johor bagi keseluruhan kempen ACL Two. Ia adalah langkah perancangan dan persediaan bagi memastikan kelab mempunyai pilihan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada jadual atau tempoh kerja-kerja naik taraf stadium.” tambahnya.

Sebagai rekod, skuad berjulukan The Cats bimbingan Aidil Sharin Sahak berhasil meraih slot ke saingan ACL2 selepas muncul naib juara Liga Super 2025-26.

Undian yang berlangsung pada Selasa menyaksikan Kuching City telah diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Gangwon FC, Kitchee FC dan Phnom Penh Crown FC.

FEATURED IMAGE: Johor Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd