Jersi Terengganu FC Konsep “Pure Black & White” – RM119 Sehelai
Hafiz Omar

Kelab yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima musim lalu, Terengganu FC tampil melancarkan jersi “home” dan “away” baharunya bagi digunakan sepanjang Liga Malaysia 2026-27 dengan tanda harga RM119 sehelai.
Jersi itu diperkenalkan dan dikongsikan menerusi laman sesawang dan kesemua akaun media sosial rasminya pada hari ini dengan mengetengahkan konsep “Pure Black & White” dengan warna hitam dan putih menjadi elemen utama tanpa penggunaan warna-warna lain seperti edisi-edisi lalu.
Konsep itu dilihat mengangkat warna hitam dan putih sebagai simbol identitinya dan warna keramat bagi kelab berpangkalan di pantai timur tersebut.
@officialterengganufc▪️▫️”𝐏𝐮𝐫𝐞 𝐁𝐥𝐚𝐜𝐤 𝐀𝐧𝐝 𝐖𝐡𝐢𝐭𝐞” Introducing our 2026/27 home and away kits. #TrivetxTerengganuFC #WeBleedBlackAndWhite♬ original sound – TERENGGANU FC
Pengenalan jersi itu turut diterjemahkan menerusi video pelancaran berdurasi 68 saat yang membawa mesej memperkenalkan Terengganu FC kepada dunia melalui identiti hitam dan putih yang menjadi simbolik kepada kelab dan negeri Terengganu.
Trivet menggunakan warna putih pada jersi “home” dengan mengekalkan elemen tradisi warna rasmi pasukan yang telah menjadi identiti Terengganu FC sejak sekian lama di samping menerapkan rekaan yang lebih bersih dan minimalis.
Jalur halus pada bahagian hadapan memberikan sentuhan klasik tanpa menghilangkan penampilan moden jersi tersebut. Manakala penggunaan kolar pula memberikan karakter yang lebih kemas dan versatil sekaligus membolehkan jersi ini bukan sahaja sesuai dipakai ketika turun ke stadium malahan dalam kehidupan seharian.
View this post on Instagram
Sementara itu, Trivet memilih hitam pada jersi “away” memberikan karakter yang lebih tegas. Kelainan paling ketara pada edisi kali ini adalah penggunaan monogram “TFC” sebagai lencana kelab menjadikan penampilannya lebih minimalis dan unik berbanding rekaan jersi musim-musim sebelumnya.
Pihak kelab memaklumkan harga yang ditetapkan oleh Trivet adalah 20% lebih rendah berbanding harga juala jersi musim lalu dan ianya sebagai tanda penghargaan buat seluruh penyokong Terengganu FC.
Jersi “player issue” bagi “home” dan “away” ini akan mula dijual secara fizikal pada 28hb Ogos, Jumaat, ketika Terengganu FC melayan kunjungan Selangor FC pada aksi kedua Liga Super 26-27 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Selain pembelian secara fizikal, tempahan awal jersi ini boleh dibuat menerusi laman rasmi barangan kelab Terengganu FC iaitu tfcdirect.asia