Selangor FC Sasar Kembali Ke Asia Musim 2027-28

August 20, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC meletakkan sasaran untuk kembali ke pertandingan bola sepak Asia pada musim 2027-28.

Bagi meraih slot ke pertandingan Asia, kelab berjulukan Gergasi Merah perlu bergelar juara Piala FA atau sekurang-kurangnya menyudahkan kempen Liga Super 2026-27 di tangga kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon percaya para pemain dan barisan kejurulatihannya mampu mencapai sasaran tersebut lebih-lebih lagi mereka hanya beraksi dalam kancah domestik sahaja pada musim ini.

“Kita selalu nak perbaiki berbanding musim lepas, sangat jelas, saya percaya para pemain dan jurulatih akan memberikan yang sebaiknya,”

“Sudah tentu, apabila kita ada (saingan) domestik sahaja, fokus yang lebih dapat diberikan kepada (pertandingan) domestik, perjalanan dan sebagainya (telah) berkurangan, saya percaya ini memberikan ruang terbaik untuk pemain-pemain lebih fokus kepada saingan tempatan,” 

“Saya rasa tahun lepas kita (cipta) rekod bermain paling banyak perlawanan dalam semusim (iaitu) 52 perlawanan rasmi, kita belum pernah (hadapi) situasi tersebut,” 

“Sasaran sudah tentunya kita kena layak ke (pertandingan) Asia musim berikutnya,” katanya ketika ditemui selepas acara pengenalan jersi Adidas x Selangor FC 26-27 di Sunway Pyramid, hari ini.

Selangor FC terlepas peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) selepas menamatkan kempen Liga Super 2025-26 di tempat ketiga.

Sebaliknya, slot itu diraih oleh Kuching City FC bimbingan Aidil Sharin yang berjaya memintas Selangor FC di penghujung musim dan menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara.

Bagi menghadapi saingan musim ini, Selangor FC memperkukuhkan skuadnya dengan menandatangani Kay Tejan, Arbenit Xhemajli, Peter Makrillos, Eduardo Sosa, Jefferson Tabinas, Adib Ra’op, A. Selvan, dan Azam Azih.

Selangor FC akan memulakan kempen Liga Super 26-27 dengan bertemu Kelantan Red Warrior bimbingan Irfan Bakti di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 22hb Ogos (Sabtu).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd