Adidas, Selangor FC Rancang Keluarkan Jersi Ketiga Tahun Ini
Hafiz Omar

Adidas selaku Rakan Kit Rasmi Selangor FC tidak terhenti setakat mengeluarkan jersi “home” dan “away” buat kelab berjulukan Gergasi Merah itu.
Jenama pengeluar barangan sukan global dari Jerman itu mendedahkan akan mengeluarkan jersi ketiga buat Selangor FC – sepertimana Selangor FC lakukan pada musim-musim terdahulu bersama rakan kitnya, Joma.
Bagaimanapun, Adidas menutup mulut dan tidak memberikan sebarang bayangan mengenai rekaan mahupun corak jersi ketiga terbabit dan hanya mengesahkan ianya akan dikeluarkan pada tahun ini.

“Ya, ada. Saya boleh bagitahu ianya akan (dikeluarkan) tahun ini. Ianya mengagumkan,” kata Pengurus Negara Adidas Malaysia, Preston Page dalam sidang media selepas acara pengenalan jersi “home” dan “away” Selangor FC pada Khamis.
“Malangnya disebabkan ianya sangat sulit (tetapi) saya sangat teruja, anda perlu bersabar untuk beberapa bulan lagi,” tambahnya lagi.
Pada musim-musim lalu, jersi ketiga Selangor FC seringkali ditampilkan dalam rekaan dan corak yang unik berbanding jersi “home” dan “away”.
Pada musim lalu, jersi ketiganya ditampilkan lebih eksklusif apabila turut melibatkan jenama pakaian jalanan tempatan, SVG disamping Joma.
Acara pengenalan jersi Selangor FC 2026-27 di Sunway Pyramid semalam turut mengumumkan harga jualan RM199 sehelai dan sedia untuk dibeli di butik rasmi Adidas terpilih, Al-Ikhsan, Sports Direct, butik flagship Selangor FC dan secara dalam talian; adidas.com.my