Sistem Semakan Badminton AI Malaysia Buat Penampilan Sulung Di Kejohanan Antarabangsa

August 24, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Sistem Semakan Segara (IRS) yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) dari Malaysia – yang pertama di dunia untuk pertikaian garisan dalam sukan badminton – membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa selepas ianya diguna pakai dalam Cabaran Antarabangsa Singapura 2026.

Dikenali sebagai Reveal Lens, teknologi yang dibangunkan oleh Revealtek Sdn Bhd serta mendapat kelulusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu digunakan dengan jayanya dalam kejohanan yang berlangsung dari 18hb hingga 23hb Ogos, minggu lalu.

Penggunaan di negara seberang tambak itu meletakkan sistem buatan Malaysia di pentas antarabangsa tatkala Revealtek sememangnya berhasrat untuk meluaskan penggunaannya di luar negara berikutan pelaksanaan di beberapa kejohanan tempatan sebelum ini. 

Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nizam Mohamed berkata teknologi itu menunjukkan bagaimana AI boleh digunakan untuk meningkatkan mutu pengadilan badminton dan menyemak perlawanan.

“Ia lebih kurang seperti Video Bantuan Pengadil (VAR) yang terdapat dalam bola sepak dan tenis.”

“Sistem ini hampir serupa, tetapi ia melangkah lebih jauh dengan memberikan keputusan berdasarkan beberapa pengiraan berbanding sekadar menampilkan tayangan semula video,” katanya.

Menurut Nizam, Reveal Lens menggunakan sistem tanpa wayar yang boleh dipasang dalam tempoh dua jam. Ini berbeza dengan sistem yang lebih kompleks yang memerlukan infrastruktur yang banyak serta proses penentukuran yang mengambil masa panjang. 

Ketika ini Revealtek mencari peluang untuk memperluaskan teknologinya ke pasaran badminton yang lain tatkala penganjur dan persatuan badminton di Vietnam serta Indonesia telah menyatakan minatnya.

Pada masa yang sama, Nizam menyatakan pihaknya sedang berbincang dengan konfederasi benua dengan tujuan menjadikan teknologi ini sebagai satu piawaian yang diperakui supaya semua ahli gabungan boleh menggunakannya sebagai amalan piawai.

Selain IRS, Revealtek turut membangunkan modul analitik dan sistem pengadilan garisan yang berfungsi sepenuhnya serta mampu melaksanakan tugas utama hakim garisan semasa perlawanan badminton – satu demonstrasi pada kejohanan akan datang di Australia pada Oktober telah dijadualkan.

Nizam turut berkongsikan bahawa syarikatnya mahu memperluas penggunaan AI dan teknologi penyelesaian yang dibangunkan oleh tempatan dalam industri sukan secara lebih menyeluruh sementara menyumbang kepada ekosistem teknologi sukan Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd