Bruno Suzuki Umum Persaraan Pada Usia 36 Tahun
Hafiz Omar

Penyerang import berpengalaman yang pernah mewarnai kancah Liga Malaysia, Bruno Suzuki mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 36 tahun.
Pemain Jepun kelahiran Brazil itu mengumumkan keputusan itu menerusi satu hantaran di akaun media sosial peribadinya pada Rabu sekaligus menoktahkan karier bola sepaknya selepas 17 tahun.
Bruno sempat membuat 14 penampilan bersama Penang FC sebelum menggantungkan butnya.
Penyerang tengah yang mampu beraksi di posisi sayap itu mula mewarnai kancah bola sepak Malaysia dengan menyertai Negeri Sembilan pada musim 2017.
View this post on Instagram
Selain itu, pemain berketinggian 1.75 meter itu turut pernah menyarung jersi kelab “feeder” iaitu Terengganu FC II; kelab induk, Terengganu FC serta PDRM FC – kelab paling lama diwakilinya di sini.
Keberadaannya di Malaysia turut membawanya dirinya menjadi muslim apabila mengumumkan memeluk agama Islam setelah mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid PULAPOL KL pada Ogos 2023.
Selain Malaysia, Bruno pernah berkelana di Thailand, Singapura selain beraksi di negara matahari terbit merangkap negara kelahiran ibunya sendiri iaitu Jepun.
Biarpun telah bersara sebagai pemain, Bruno mendedahkan niatnya untuk kekal dalam sukan atau industri bola sepak dengan melangkah ke bidang kejurulatihan.
“Saya akan memberikan kesemua (pengalaman) yang ada untuk mendidik dan membimbing generasi seterusnya.” katanya.
FEATURED IMAGE: Facebook Bruno Suzuki