132 Atlet SUKMA Berpotensi Wakili Negara Ke Sukan SEA
Hafiz Omar

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari melihat penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 memberikan peluang kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengenal pasti bakat-bakat yang boleh diketengahkan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia kelak.
Menurut Dr. Taufiq merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, seramai 132 atlet yang bertanding di edisi ke-22 temasya berkenaan telah dikenal pasti untuk dipertimbangkan bagi mewakili negara di Sukan SEA 2027.
Angka itu merangkumi 59 atlet lelaki dan 73 atlet wanita. Jelas Dr. Taufiq, penyenaraian itu dibuat berdasarkan penilaian awal sepanjang berlangsungnya SUKMA bermula dari 15hb hingga 24hb Ogos lalu.
“Atlet-atlet ini akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara,” kata Dr. Taufiq menerusi satu kenyataan media.
Dalam kenyataan yang sama, Dr. Taufiq turut merakamkan penghargaan terhadap pencapaian membanggakan atlet-atlet di bawah program MSN.
“Seramai 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa telah bertanding dan menyumbang keseluruhan 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.” ujarnya.
“Secara keseluruhan, sebanyak 37 rekod baharu SUKMA dicatat pada temasya kali ini, dengan 14 daripadanya dipecahkan oleh atlet di bawah program MSN, merangkumi enam rekod olahraga, tiga rekod memanah dan lima rekod renang.” tambahnya lagi.
Antara atlet yang menyerlah di bawah Program Pelapis ialah Shannon Yan-Qing Tan yang mengutip lapan pingat emas serta atlet Program Podium, Muhammad Dhuha yang meraih lima pingat emas.
Selain itu, nama-nama lain seperti Elvis Priestly Clement, Nur Elisha Rania, Adania Redzwan, Cadence The Zi Qi dan Danish Iftikhar turut mempamerkan prestasi cemerlang.
Bukan itu sahaja, seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN turut menyertai SUKMA kali ini. Daripada angka itu, seramai 538 atlet berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing.
“Pencapaian ini menunjukkan program pembangunan atlet MSN terus memberikan impak positif sebagai satu rantaian pembangunan sukan yang berterusan, bermula daripada pengenalpastian bakat, pembangunan atlet pelapis sehingga ke program prestasi tinggi negara.” kata Dr. Taufiq lagi.