Pavithran Sertai Terengganu FC Bimbingan Nafuzi – Kontrak Semusim

August 28, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain yang mencuri tumpuan bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Hyundai ASEAN 2026, Pavithran Gunalan menjadi pemain terbaru menyertai Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain.

Kelab berpangkalan di pantai timur itu mengumumkan penyertaan pemain berusia 21 tahun itu secara rasmi menerusi laman sesawang dan perkongsian di akaun media sosialnya, pada hari ini.

Menurut kelabnya, bekas pemain Johor Darul Ta’zim II kelahiran Perak itu menyertai Terengganu FC dengan kontrak selama semusim sekaligus menambah pilihan serta kekuatan di bahagian tengah pasukan.

“Pavithran merupakan antara pemain muda Pasukan Kebangsaan Malaysia yang sedang meningkat naik, dengan potensi serta kualiti yang semakin mendapat perhatian dalam kancah bola sepak tempatan.” 

“Kehadirannya di Terengganu FC dijangka memberikan dimensi baharu kepada jentera tengah pasukan di bawah kendalian Nafuzi Zain, seiring dengan perancangan pasukan untuk membentuk skuad yang lebih kompetitif bagi menghadapi musim baharu.” tulis kenyataan oleh kelab Hitam Putih itu.

Difahamkan, kedatangan Pavithran melengkapkan kuota pemain tempatan Terengganu FC bagi musim ini selepas menandatangani Romel Morales, Faiz Mazlan, Haziq Kutty dan Danial Amier.

Kelibat Pavithran dijangkan dapat disaksikan julung kalinya apabila Terengganu FC melayan kunjungan Selangor FC kendalian Kim Pan-gon pada malam ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

FEATURED IMAGE: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd