Lionel Messi Bersara Bola Sepak Antarabangsa
Hafiz Omar

Kelibat pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali, Lionel Messi bersama skuad bola sepak kebangsaan Argentina di Piala Dunia FIFA 2026 menjadi yang terakhir dapat disaksikan peminat bola sepak.
Ini selepas penyerang berstatus legenda kelahiran Santa Fe itu mengumumkan persaraannya bersama skuad berjulukan La Albiceleste pada usia 39 tahun menerusi hantaran di akaun media sosialnya pada Isnin.
Beliau menggambarkan ianya satu keputusan sukar namun dilakukan tepat pada masanya.
“Saya bersumpah kepada semua, saya sentiasa berikan segala-galanya yang saya miliki – tidak dalam tahun-tahun kebelakangan ini dimana kita menang segala-galanya, tetapi masa sebelumnya.”
View this post on Instagram
“Saya sentiasa berjuang dan memberikan segala-galanya untuk jersi ini, memberikan kegembiraan dan membuatkan anda bangga menjadi rakyat Argentina menerusi bola sepak.” katanya nota yang dimuat naik di pelbagai akaun media sosial peribadinya.
Messi mendedahkan nota itu telah ditulisnya dua hari selepas perlawanan akhir Piala Dunia bertemu Sepanyol di Stadium New Jersey New York namun keputusan untuk bersara itu semakin tebal selepas bapanya merangkap ejennya meninggal dunia pada Ogos lalu.
Seperti ramai ketahui, Messi menjadi tonggak utama yang membantu Argentina berjaya menjulang Piala Dunia FIFA buat kali ketiga dalam sejarahnya apabila menumbangkan Perancis pada tahun 2022.
Antara pencapaian lain Messi bersama Argentina adalah menjuarai Copa America 2021 dan 2024, pingat emas Sukan Olimpik 2008 dan Piala Dunia B-20 2005.
Perkembangan ini menyaksikan Messi hanya akan menumpukan karier bola sepaknya bersama Inter Miami, kontrak sehingga hujung 2028, dalam kancah Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika Syarikat.
FEATURED IMAGE: Adidas