Rudiger Bersara Bola Sepak Antarabangsa Pada Usia 33 Tahun
Hafiz Omar

Pertahanan tengah tinggi lampai dan bertubuh sasa, Antonio Rudiger tidak lagi menyarung jersi skuad kebangsaan Jerman selepas saat ini sekaligus menumpukan perhatian terhadap karier kelabnya sahaja.
Ini berikutan pemain yang kini beraksi bersama Real Madrid itu mengumumkan menoktahkan karier bola sepak antarabangsanya pada usia 33 tahun selepas 12 tahun mewakili Jerman.
“Setelah mengambil masa untuk membuat pertimbangan, tiba masanya untuk saya mengakhiri karier bersama pasukan kebangsaan dan membuka laluan kepada generasi muda.” tulisnya menerusi Instagram pada Selasa.
View this post on Instagram
Rudiger meraih penampilan pertamanya bersama Jerman pada tahun 2014 di bawah kendalian ketua jurulatih, Joachim Low ketika bertemu Poland.
Sejak detik itu, Rudiger telah membuat 86 penampilan bersama Jerman selain menjaringkan tiga gol dan mencetak lima bantuan gol.
Kariernya bersama Jerman tidak begitu indah dengan gagal menjulang sebarang trofi kejuaraan utama termasuk persembahan buruk tersingkir pada peringkat kumpulan dalam saingan Piala Dunia 2018 dan 2022.
Bagaimanapun, Rudiger tetap menganggap tempohnya bersama Jerman sebagai babak istimewa yang membentuk dirinya selama-lamanya.
Dalam pengumumannya itu, Rudiger yang turut pernah beraksi bersama VfB Stuttgart, AS Roma dan Chelsea merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukannya serta keseluruhan staf kejurulatihan serta sokongan termasuk mentornya ketika skuad remaja kebangsaan, Horst Hrubesch.
FEATURED IMAGE: DFB