KBS Buka Pendaftaran 500 Sukarelawan Untuk Bahrain GP
Hafiz Omar
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil melancarkan pendaftaran sukarelawan yang akan bertugas bersempena perlumbaan Formula 1 (F1) Bahrain GP bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 2hb hingga 4hb Oktober kelak.
Seramai 500 sukarelawan diperlukan bagi tujuan itu dan pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, pada hari ini.
Permohonan untuk menjadi sukarelawan itu dibuka bermula 2hb September (Rabu) secara dalam talian menerusi platform Sistem MyProfil di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Bagaimanapun, permohonan sukarelawan itu perlu memenuhi syarat-syarat seperti warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan bebas daripada sebarang penyakit, berdisiplin, berintegriti, boleh bekerja dalam kumpulan dan bertoleransi tinggi serta mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.
Menurut KBS, sukarelawan yang terpilih akan bertugas di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melalui inisiatif Rakan Muda dan ditempatkan dalam empat skop utama iaitu perkhidmatan pelanggan, tiket dan kemasukan, perhubungan atau penyambut tetamu dan pengurusan kawasan MADANI.
Jelas KBS, penglibatan golongan belia dalam acara bertaraf antarabangsa seperti F1 memberi peluang kepada rakyat Malaysia memperoleh pengalaman sebenar dalam pengurusan acara berskala besar dan memainkan peranan penting sebagai duta kecil Malaysia dalam menyantuni pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Pada masa yang sama, inisiatif ini menjadi platform untuk memperkasa potensi dan pembangunan belia melalui pengalaman kesukarelawanan, kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan serta pendedahan kepada pengurusan acara sukan bertaraf antarabangsa.