Pemilihan FAM: Presiden MFL, Timbalan Presiden FAS Rebut Jawatan Presiden
Hafiz Omar
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan dua individu akan merebut jawatan Presiden bagi badan induk bola sepak tanah air.
Dua individu itu ialah Dato’ Ab Ghani Hassan merangkap Presiden Malaysian Football League (MFL) dan Dato’ Sri Shahril Mokhtar yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Kedua-duanya disahkan merebut kerusi No.1 berkenaan selepas FAM mengumumkan calon-calon yang telah disahkan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 menerusi satu kenyataan, pada hari ini.
View this post on Instagram
Sementara itu, Jawatan Naib Presiden 1 menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Datuk Seri Rosmadi Ismail, Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar manakala jawatan Naib Presiden 3 pula akan direbut oleh Datuk Saaran a/l Nadarajah dan Afizal Abu Othman.
Sepertimana perubahan Statut FAM dalam Kongres Luar Biasa pada Jun lalu, jawatan Naib Presiden 2 tidak dipertandingkan dan akan diisi secara automatik oleh Presiden MFL.
Dalam pengumuman yang sama, FAM mengesahkan tujuh individu dicalonkan untuk merebut tiga kerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif (Persatuan Bola Sepak / FA) manakala lima nama dibariskan untuk merebut dua kerusi AJK Eksekutif (Kelab Bola Sepak / FC).
Beralih pula kepada kerusi AJK Eksekutif (Profesional) dan AJK Eksekutif (Wanita), setiap posisi itu ditandingi oleh dua nama masing-masing.
“Semua pencalonan telah melalui proses semakan dan pengesahan berdasarkan Statut FAM serta peraturan dan tatacara pemilihan yang telah ditetapkan.” tulis FAM dalam kenyataannya.
Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM ini akan berlangsung semasa Kongres Luar Biasa FAM Kedua pada tarikh 17hb September 2026.
FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia