Hamidin Mohon Maaf
Hafiz Omar

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Hamidin Mohd Amin memohon maaf atas keputusannya menarik diri daripada merebut jawatan Presiden FAM bagi penggal 2025-2029.
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan kepada pihak media pada hari ini, keputusan itu dilakukannya biarpun mendapat pencalonan tertinggi daripada ahli gabungan FAM.
“Saya amat menghargai sokongan yang diberikan. Bagi saya, ia satu amanah dan kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia yang sentiasa saya junjung.”
“Namun, setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu, sekali gus memastikan organisasi yang kita cintai ini kekal fokus dan terus bergerak ke hadapan.” kata mantan Presiden FAM dari 2018 hingga 2025 itu.
Jelas Hamidin, keputusan itu diambil bagi mengelakkan sesi pemilihan pada kali ini menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan usaha FAM untuk melaksanakan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.
“Saya mahu melihat FAM terus kukuh, bersatu dan mendapat kembali keyakinan seluruh rakyat Malaysia terutamanya penyokong dan peminat bola sepak.” Tambahnya.
Keputusan Hamidin itu menyaksikan jawatan No.1 badan induk bola sepak tanah air hanya ditandingi dua individu sahaja iaitu Dato’ Ab Ghani Hassan (Presiden Malaysian Football League) dan Dato’ Sri Shahril Mokhtar (Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor).
Ahli-ahli gabungan FAM akan turun memilih Jawatankuasa Eksekutif yang baharu pada sesi pemilihan yang berlangsung semasa Kongres Luar Biasa FAM Kedua pada tarikh 17hb September kelak.
FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia