Fokus Awal Ab Ghani Bersama FAM

September 5, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar


Calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan keutamaannya ketika ini adalah untuk membentuk satu pasukan yang mampu bekerja secara kolektif demi memastikan hala tuju bola sepak negara dapat diteruskan dengan lebih tersusun.

Jelasnya, perancangan dan hala tuju FAM tidak boleh ditentukan secara bersendirian melihat kepada fungsi badan induk bola sepak negara itu yang turut melibatkan pelbagai badan gabungan serta barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang bakal dipilih bersama bagi penggal 2025-2029.

“Sudah tentunya saya juga mempunyai visi dan misi tersendiri untuk membawa bola sepak Malaysia ke arah yang lebih baik tetapi kita juga perlu memahami bahawa FAM adalah sebuah persatuan yang melibatkan badan-badan gabungan dan barisan Exco yang akan dipilih bersama dalam pemilihan ini nanti.”

“Jadi adalah tidak sesuai untuk saya membuat keputusan atau menentukan hala tuju seorang diri sekarang kerana proses perancangan FAM perlu mengambil kira pandangan Exco lain yang akan bersama-sama menerajui FAM, selain kepentingan setiap badan gabungan.”

“Sekarang pun bukan sahaja Persatuan Bolasepak Negeri (FA) sebagai badan gabungan, malah turut melibatkan di peringkat kelab-kelab Liga Malaysia, Liga Bolasepak Amatur (AFL) bagi saingan liga semi profesional, Liga Wanita Nasional, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) serta golongan profesional,” katanya.

Justeru, Ab Ghani percaya pendekatan secara bersama perlu diberi penekanan supaya setiap keputusan yang dibuat dapat mengambil kira keperluan dan kepentingan keseluruhan ekosistem bola sepak negara.

“Yang lebih penting terlebih dahulu ialah untuk baki penggal 2025-2029 yang hanya mempunyai tempoh lebih dua tahun sahaja lagi, kita dapat membentuk satu pasukan yang mempunyai visi yang sama dan mampu bekerja secara kolektif.”

“Bagi saya, kepentingan bola sepak negara perlu diletakkan sebagai keutamaan. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bukannya secara individu,” katanya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd