Astro Sedia 7 Saluran Untuk Sukan Asia 2026

September 7, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung bermula 19hb September hingga 4hb Oktober hadapan akan dapat disaksikan secara langsung menerusi Astro termasuk Njoi dan Sooka.

Bahkan, syarikat televisyen berbayar itu memaklumkan menyediakan tujuh saluran yang terdiri daripada lima saluran khusus ASG1 hingga ASG5 (saluran 795-799) selain Astro Arena (saluran 801) dan Stadium Astro (saluran 802).

Tambah Astro, liputan Sukan Asia edisi ke-20 itu tidak sekadar siaran langsung malah meliputi saingan pingat, detik-detik penting serta perkembangan atlet negara dan terbaik asia – sehingga 13 jam sehari.

Bagi peminat-peminat sukan tanah air, beberapa acara dilihat bakal diberikan tumpuan utama untuk menghadirkan kilauan pingat emas.

Antaranya sepak takraw dimana Malaysia hadir dengan momentum kejayaan di pentas dunia sementara acara skuasy pula bakal ditandingi dua juara bertahan iaitu S. Sivasangari dan Ng Eain Yow.

Selain itu, badminton dan acara berbasikal trek juga dijangka menjadi acara yang turut dinanti-nantikan peminat tanah air.

Kesemua perkembangan serta prospek pingat melibatkan atlet negara akan disiarkan menerusi program khas di Pentas Tumpuan yang menampilkan pandangan dan analisis daripada bekas atlet negara serta pakar sukan. 

Antara rancangan lain yang bakal disajikan Astro adalah previu, analisis pasca-pertandingan, sorotan aksi, kisah di sebalik temasya serta kompilasi detik-detik terbaik.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd